NRES sasar 25 program Rumah Ibadat Hijau (RIH) setiap tahun – Menteri
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bercadang menjadikan rumah ibadat sebagai premis contoh kepada amalan kecekapan tenaga, air dan lestari
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya menyasarkan untuk melaksanakan 25 program Rumah Ibadat Hijau (RIH) di rumah ibadat seluruh negara setiap tahun.
Tidak hanya bertujuan menjadikan rumah ibadat dalam negara sebagai pusat pemangkin kelestarian alam yang menjimatkan kos penggunaan utiliti, namun juga memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah serta komuniti setempat.
“Setakat ini kami sudah ada 12 RIH seluruh negara dengan 58 permohonan. Program RIH turut menekankan beberapa elemen termasuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, air, pengurusan sistem lampu cekap tenaga dan sebagainya.
“Kesedaran mengenai gaya hidup hijau daripada program ini akan mendidik kita tentang kepentingan untuk menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.
Nik Nazmi berkata begitu selepas menyerahkan Sistem Panel Solar menerusi RIH di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng di Seremban.
Sistem tersebut dijangka akan menjana 26,600 kilowatt jam tenaga boleh baharu dan penjimatan kos utiliti masjid sebanyak RM14,000 secara tahunan.
BACA LAGI: Kerajaan lulus 22 projek Tenaga Boleh Baharu bekal tenaga elektrik hijau
Sementara itu beliau turut memaklumkan, Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) turut menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sejak 2021 bagi mewujudkan Wakaf Masjid Hijau (WMH) sebagai dana alternatif menggalakkan inisiatif teknologi hijau oleh masjid dan surau.
Setakat 31 Jan lalu, sebanyak RM257,961.23 berjaya dikumpul dengan RM190,000 dana WMH disalurkan kepada empat masjid pada tahun ini.
Pemasangan sistem solar di Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng berjaya dipasang melalui peruntukan RM60,00 di bawah WMH dan kutipan infak pihak masjid sebanyak RM12,000.