Semasa

Konvensyen Mahasiswa Selangor 2024 jadi medium perbincangan dengan kerajaan negeri

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM50,000 kepada Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) bagi merancakkan lagi penganjuran pelbagai program di universiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu program di Shah Alam pada Sabtu berkata, dana berkenaan juga bagi menampung perbelanjaan pewakilan PERMAS untuk turun padang bertemu mahasiswa di seluruh negara

“Buat masa ini ahli jawatankuasa boleh turun ke kampus berjumpa dengan mahasiswa untuk melihat kebajikan mereka. Insya-Allah, jika ada berkesempatan saya juga akan turun padang berjumpa semua jawatankuasa PERMAS di seluruh Malaysia,” katanya dipetik.

Beliau sebelumnya berucap merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Mahasiswa Selangor 2024 di Mardhiyyah Hotel & Suites yang mengumpulkan 200 mahasiswa Selangor dari 16 institusi pengajian tinggi awam seluruh Malaysia.

Mengulas mengenai konvensyen dua hari itu beliau berkata, ia sebagai medium perbincangan antara mahasiswa dalam memberi cadangan atau buah fikiran kepada dasar Kerajaan Negeri.

“Selangor merupakan negeri pertama menganjurkan konvensyen ini dan ia merupakan satu permulaan yang sangat baik, konsisten dan momentum itu perlu dikekalkan demi menjaga nama baik PERMAS.

“Wujudnya konvensional ini adalah untuk melahirkan pemikiran yang boleh berbincang, berdialog, menelaah dan memahami peredaran zaman ketika ini.

“Saya sangat positif dan yakin dengan adanya program seperti ini. Yang penting bukanlah kertas kerja atau pencapaian tetapi kemahuan ditunjukkan mahasiswa mahasiswi dalam mengetengahkan minat untuk fikir sesuatu kepada negara,” katanya.

BACA LAGI: Selangor sumbang RM100,000 untuk kebajikan anak negeri di UMS

Amirudin sementara itu memaklumkan Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah, di Amman, Jordan yang memasuki siri ketiga tahun lalu juga diteruskan lagi pada tahun ini.

Malah Kerajaan Negeri juga jelasnya akan menyantuni mahasiswa Selangor yang berada di negara lain.

Related Articles

Back to top button