Parlimen

Titah ucapan sulung Agong pada istiadat pembukaan Parlimen Isnin ini

Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-15 bakal membuka tirainya pada Isnin 26 Februari dengan menyaksikan titah pertama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat yang kembali bersidang selepas melabuhkan tirai pada 30 November 2023 di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sidang Dewan Rakyat kali ini akan tertumpu kepada Titah Sultan Ibrahim dan berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac.

Ia disusuli dengan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 27 Februari, manakala penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan bermula 11 hingga 14 Mac.

Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di dalam Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Selain itu, rang undang-undang bagi merealisasikan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) turut dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

Mengikut portal rasmi Parlimen Malaysia, Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini.

Sementara itu, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 dijadualkan selama 15 hari iaitu dari 24 Jun hingga 18 Julai.

Ini kemudiannya disusuli dengan Mesyuarat Ketiga selama 35 hari iaitu 7 Oktober hingga 5 Disember.

Related Articles

Back to top button