SPRM akan semak notis merah Interpol terhadap menantu Mahiaddin
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemak perkembangan notis merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Adlan dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.
“Itu (di mana keberadaan Muhammad Adlan dan peguamnya) kita belum dapat maklumat lagi.
“SPRM akan semak lagi dengan Interpol (sama ada sudah dikesan). Buat masa ini, kita tunggu dia (Muhammad Adlan) kembali ke negara ini untuk pertuduhan di mahkamah.
“Usaha masih dijalankan, kita juga sudah memohon kepada PDRM untuk menyenaraikan Muhammad Adlan dalam senarai orang dikehendaki. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang, tetapi juga peguamnya
“Kita sekarang ini tunggu dia (Muhammad Adlan) balik (ke Malaysia) dulu sebelum menuduhnya di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di Johor, hari ini.
Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.
Khamis lalu, Azam dilaporkan mengesahkan beberapa kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga ahli perniagaan, sudah lengkap.
Azam dilaporkan berkata kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga menantu kepada Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, itu membabitkan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT).
Terdahulu, SPRM) telah membuka pejabat cawangan baharu di Mersing dalam usaha memperluas perkhidmatannya sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan suruhanjaya ini.
Perasmian pejabat cawangan baharu yang mula beroperasi sejak 1 Januari lalu itu disempurnakan oleh Azam Baki, hari ini.
Pejabat cawangan Mersing itu terletak di Bangunan JKR 290, Jalan Ibrahim, 86800 Mersing, Johor.
Pejabat berkeluasan 207.68 meter persegi itu dilengkapi dengan bilik mesyuarat, bilik merakam kenyataan dan surau selain ruang kerja bagi menempatkan seramai empat warga SPRM.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 07-7994400.