Bekalan makanan bakal ditingkatkan, kerajaan laksana program pertanian bersasar di bandar
Kejayaan program pertanian bandar yang dilaksanakan di negara jiran, Singapura wajar dicontohi dan dipraktikan di negara ini, kata Perdana Menteri.
Bercakap pada sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad, Datuk Seri Anwar berkata, susulan itu kerajaan berhasrat memperkenal program pertanian bersasar di bandar dan kawasan pinggir bandar sebagai anjakan kepada pengeluaran hasil pertanian negara.
“Di samping kita teruskan usaha sedia ada bidang pertanian, kita juga perlu tumpukan kepada pengeluaran pertanian di bandar dengan fokus kepada penglibatan golongan miskin bandar.
“Saya juga minta menteri (berkaitan) meneliti perkara ini termasuk menyediakan peruntukan tambahan khas dalam bidang ini bagi meningkatkan kegiatan pertanian di bandar,” katanya
Justeru katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kementerian lain bersama agensi berkaitan diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan perancangan yang sesuai bagi program itu.
Terdahulu, Anwar hadir bagi merasmikan majlis penutup program itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Menteri Kabinet.
BACA LAGI: Selepas jagung bijirin, Selangor intai potensi tanaman vanila
Sebagai rekod, selain berusaha mengangkat kembali martabat ekonomi dan imej negara, pentadbiran Anwar turut dilihat mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan keterjaminan makanan.
Antara usaha yang dilaksana adalah dengan memperluaskan projek Program SMART SBB Ala Sekinchan ke seluruh negara dan penanaman bawang bagi memenuhi keperluan tempatan.
Dari segi ekonomi, Kementerian Ekonomi menggiatkan usaha menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan membuka tanah kepada golongan B40 dan miskin tegar untuk diusahakan sebagai kawasan pertanian.
Manakala Kerajaan Selangor menggerakkan projek penanaman jagung bijirin bagi menjana ekonomi negeri selain memenuhi keperluan makanan ternakan sekaligus memastikan harga produk terutama ayam akan dapat diturunkan.