Negeri

Selangor dan KPKM jalin kerjasama strategik untuk projek pertanian berimpak tinggi

Kerajaan negeri Selangor memperkukuh agenda keterjaminan makanan di negeri itu apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, berkata jalinan strategik menerusi PKPS itu bagi melaksanakan pertanian berimpak tinggi dan meningkatkan kadar sara diri komoditi makanan di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM24 juta.

Selain itu jelasnya, ia bertujuan memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

“Peruntukan yang akan disalurkan KPKM berjumlah RM24 juta melibatkan beberapa projek pertanian yang telah pun bermula sejak awal tahun ini.

“Antaranya ialah projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan dan Rawang berkeluasan 300 ekar (121 hektar), projek pembangunan ladang lembu tenusu di ladang PKPS Sungai Tengi, projek tanaman kontan dan bernilai tinggi di Selangor Fruit Valley dan projek gedung makanan ihsan Selangor,” katanya.

Dr Mohamad Khairil berkata begitu kepada pemberita selepas sesi pertukaran dokumen MoU dengan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali pada majlis penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor yang berakhir semalam.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

BACA LAGI: El-Nino: Selangor punyai rezab air untuk 9 bulan

Mengulas mengenai MoU itu beliau berkata, KPKM akan berperanan sebagai pembiaya program serta menyediakan bantuan kepakaran teknikal, manakala PKPS akan menyediakan tanah serta peserta bagi semua program ini.

“Kedua-dua organisasi juga akan memperkemas peranan dalam rantaian bekalan bagi memastikan produk dapat sampai kepada rakyat pada harga berpatutan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button