ekonomi

KKDW peruntukkan RM1.7 juta bantu usahawan beralih ke pendigitalan perniagaan

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.7 untuk membantu 1,200 usahawan luar bandar beralih kepada pendigitalan pada tahun ini.

Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu disalurkan untuk memberikan pendedahan dan praktikal mengenai pendigitalan perniagaan kepada golongan berkenaan termasuk melalui Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU).

“PPU di bawah Program Desamall ini ialah inisiatif tambahan yang dilaksanakan oleh kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sebagai kesediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa,” katanya.

Mengulas mengenai PPU yang dirasmikan semalam, beliau berkata ia telah membantu usahawan menambah baik operasi perniagaan selain mengembangkan perniagaan dan meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.

“Perkembangan positif ini direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan yang diberikan KKDW dan 22 rakan strategik yang terlibat.

“Ia merangkumi pendigitalan kewangan, tempat jualan atau gudang digital, pengurusan gerbang bayaran, akses Internet yang optimum, aplikasi perkhidmatan atas permintaan dan platform e-dagang,” tambahnya.

BACA LAGI: Pembangunan bakat usahawan dan ‘freelancer’ gig jadi keutamaan

Sementara itu KKDW jelasnya turut menawarkan bimbingan lain kepada usahawan luar bandar bagi memperkasa dan memenuhi keperluan perusahaan mereka.

Antara bimbingan ditawarkan adalah berkaitan peruncitan digital, route to halal, tanda dagangan, penghasilan kandungan dan pemasaran afiliasi, peningkatan perniagaan dari taraf Nano ke Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) serta yang terkini, solusi teknologi kecerdasan buatan (A.I.) dan kecerdasan pelanggan (C.I).

Related Articles

Back to top button