Tiada pilih kasih terkait isu Kertas Pandora, SPRM siasat semua nama tersenarai – Azalina
Kerajaan menegaskan bahawa tiada pilih kasih dalam menyiasat individu dalam siasatan Kertas Pandora.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan dalam mengendalikan siasatan.
“SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar,” katanya dalam jawapan bertulis seperti disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Dalam isu ini, Azalina menjelaskan kualiti maklumat dan dokumen yang diperolehi diutamakan untuk penyiasatan bagi tindakan pembuktian kes.
Azalina berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengapa 12 individu yang disebut dalam Kertas Pandora termasuk beberapa pemimpin dalam Kabinet Kerajaan Madani tidak disiasat.
Mengulas lanjut, katanya semua senarai nama yang terkandung dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan SPRM.
Tambah beliau, terdapat juga siasatan yang tidak diketahui oleh umum.
“Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) yang menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan.
“Mana-mana siasatan juga tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dituduh di mahkamah,” katanya.
Menurut Azalina, satu pasukan khas juga ditubuhkan di mana koordinasi oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Jelasnya, ia termasuk merangkumi koordinasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) , Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (FSA).
“Ia bertujuan menganalisa identiti nama-nama yang tersenarai dalam pendedahan Kertas Pandora oleh International Consortium of Investigation Journalist (ICIJ),” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sisatan rapi terkait isu Kertas Pandora dan memohon semua Ahli Parlimen mengambil sikap tegas dengan tidak melindungi serta mempertikai siasatan.
“Kalau ada bukti, ada fakta maka tindakan diambil dan kalau tindakan diambil tanpa fakta maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa atau motif politik.
“Tetapi kalau wang ratus bilion dan juta dikeluarkan dan dilindungi, itu akan membawa porak peranda dan beri malapetaka kepada negara,” katanya.