Nasional

Program Sandbox ketengah teknologi, inovasi selesai isu jalan raya – Menteri

Selari aspirasi program MYJalan, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membincangkan peluang kerjasama bagi inisiatif Sandbox dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi bagi menyelesaikan isu-isu penyenggaraan jalan raya termasuk dalam aspek pengawalseliaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui program Sandbox, inovasi yang dihasilkan oleh KKR dan agensi di bawahnya juga dapat diketengahkan.

“Melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTE) dan CREAM, yang menerajui kajian dan inovasi sektor penyenggaraan infrastruktur dan pembinaan, pelbagai hasil inovatif telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Produk-produk ini berpotensi untuk diketengahkan dan digunakan secara meluas oleh sektor-sektor yang terlibat,” katanya menerusi kenyatan media, hari ini.

Alexander berkata, melalui kerjasama bersama MOSTI ini, KKR berhasrat untuk melaksanakan program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar yang akan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan jalan raya termasuk perabot jalan.

“Ini termasuklah melihat kepada teknologi pembinaan jalan yang menggunakan bahan yang lebih berdaya tahan, tampalan jalan yang lebih berkualiti dan tahan lama, teknologi perabot jalan yang dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya.

“Ini sejajar dengan semangat Program MYJalan yang diketengahkan oleh KKR,” katanya.

Pada Selasa, satu perjumpaan telah diadakan di antara Alexander, pengurusan tertinggi KKR serta agensi dan pengurusan tertinggi MOSTI dan agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di ibu pejabat KKR.

Tambah beliau, selari aspirasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada transformasi digital, KKR akan menjalinkan kerjasama strategik bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi memperluaskan adaptasi teknologi di dalam aspek penyenggaraan infrastruktur jalan dan sektor pembinaan.

“Program Sandbox ini akan menjadi platform bagi mengintegrasikan teknologi, kajian pembinaan dan penyelenggaraan jalan agar dapat dilaksanakan secara inklusif di seluruh negara.

“Program ini juga dapat memberi ruang dan peluang kepada pemain industri mengetengahkan inovasi dan teknologi mereka dalam ruang lingkup bidang kuasa KKR,” katanya.

Related Articles

Back to top button