Anwar

PM Anwar terima kunjungan Menteri Luar Negeri Uzbekistan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada Menteri Luar Negeri Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov yang dalam rangka kerja lawatan rasmi selama tiga hari di Malaysia.

Anwar berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah termasuk komitmen untuk memperhalusi kerjasama terutama dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kami berbincang mengenai usaha mempertingkatkan kerjasama dua hala Malaysia-Uzbekistan dan juga isu-isu serantau.

“Pada masa sama, kami turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), situasi di Gaza serta perkembangan di Afghanistan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Anwar berkata, pertemuan yang diadakan itu akan memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan.

Pada Selasa, kedua-dua negara telah memeterai perjanjian lima tahun yang bertujuan mengukuhkan amalan perangkaan dan memudah cara kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan Agensi Perangkaan Uzbekistan (Agensi Perangkaan), kedua-dua pihak komited untuk memajukan bidang statistik dan meningkatkan kapasiti Sistem Statistik Negara (NSS) masing-masing.

Related Articles

Back to top button