KPM junjung titah Yang di-Pertuan Agong, komited tambah baik sistem pendidikan negara
Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan komitmen bagi memastikan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Melalui satu kenyataan, KPM memaklumkan pihaknya merafak sembah menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin lepas, yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan bidang pendidikan.
Ia termasuk titah yang menyentuh mengenai hubungan perpaduan antara kaum yang masih belum sempurna berikutan masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
“KPM sentiasa proaktif dalam memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah.
“Melalui bahasa ini, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid sejak daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah,” menurut kenyataan itu.
Melalui kenyataan sama, KPM turut akan terus memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara, antaranya termasuk merangka Dasar Pendidikan Digital.
BACA LAGI: Semua pihak mesti terima kenyataan, hormati Kerajaan Perpaduan – Agong
“Ia bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di mana sahaja.
“Bagi melahirkan murid berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri dan negara, KPM akan terus memperkasa bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) serta teknikal dan latihan vokasional (TVET), malah telah menyediakan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut,” tambah kenyataan tersebut.
KPM sementara itu berkata, akan terus menangani isu keciciran dari peringkat awal.
Ia bagi memastikan setiap warganegara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang akan dapat menikmati pendidikan berkualiti.