Yusuf Islam hadir, jadi penceramah jemputan majlis Syarahan MADANI di Seri Perdana
Pemuzik tersohor British Yusuf Islam membuat penampilan istimewa sebagai penceramah jemputan pada majlis Syarahan MADANI di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya malam tadi.
Pada ucapan alu-aluannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yusuf adalah seorang daie yang memperjuang keamanan dan menggunakan dakwah sebagai senjata ampuh.
Yusuf juga jelasnya sering bertukar-tukar pandangan dengan pelbagai pihak dalam usahanya menyampaikan mesej sebenar Islam.
“Hari ini kita amat bertuah dengan kehadiran Yusof Islam, bagi saya beliau adalah seorang individu yang hebat serta mengagumkan.
“Beliau memiliki keberanian serta komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu gigih. Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, semasa dunia dilanda malapetaka yang tragik, beliau masih menyampaikan mesej yang amat positif dek kerana komitmennya yang begitu utuh terhadap Islam,” kata Anwar.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
BACA LAGI: Kerajaan rancang adakan sidang utama ekonomi Islam Mei ini
Yusuf melalui ceramah disampaikan malam tadi menceritakan perjalanan hidupnya ketika mencari ilmu tentang Islam bagi mendalami ajaran serta prinsip-prinsip agama suci ini.
Turut dikongsi bagaimana Yusuf terpaksa bergelut menepis prejudis dan sikap berat sebelah masyarakat sekeliling yang akhirnya membawa beliau mencari ketenangan serta bimbingan daripada ayat-ayat suci al-Quran.
Di sebalik cabaran yang terpaksa dihadapi dalam komuniti Islam, beliau menegaskan bahawa prinsip-prinsip Islam adalah kekal relevan sepanjang zaman terutama dalam aspek melindungi hak asasi manusia dan menjaga bumi.
Sementara itu, Anwar melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, majlis syarahan malam tadi turut dihadiri Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani, ulama asal Gambia.
“Semoga Saudara Yusuf dapat kembali lagi ke Malaysia terutamanya dalam konteks kesenian dan dakwah,” kata hantaran itu.