Umum

Penerbitan Al-Quran Mushaf al-Huffaz mudahkan golongan hafiz hafal dengan mudah dan sistematik

Penerbitan Al-Quran Mushaf al-Huffaz oleh Yayasan Restu bakal memudahkan para hafiz atau huffaz menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dengan lebih mudah dan sistematik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerbitan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 pelajar maahad tahfiz di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Falah akan membeli 50,000 naskhah mushaf itu untuk diedarkan ke maahad tahfiz di seluruh negara.

“Terdapat 300,000 pelajar maahad tahfiz yang berdaftar dan tidak berdaftar, tetapi tidak ada satu mushaf yang standard untuk dijadikan sebagai panduan hafazan al-Quran secara sistematik.

“Jadi insya-Allah pertengahan bulan Ramadan ini akan terbit dan akan diedarkan Mushaf al-Huffaz di seluruh maahad tahfiz,” kata Zahid ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Wakaf Peringkat Kebangsaan dan penerbitan Mushaf al-Huffaz di Putrajaya pada Jumaat.

Mushaf al-Huffaz menggabungkan beberapa kaedah hafazan serta ulangan, bertepatan dengan tujuan penerbitannya iaitu untuk membantu memudahkan proses hafazan dan ulangan ayat al-Quran yang telah dihafaz.

Sementara itu, Zahid berkata masyarakat Islam digalakkan untuk mewakafkan al-Quran dalam usaha pembudayaan kitab suci itu.

“Eloklah persiapan kita untuk wakaf al-Quran dan juga Mushaf al-Huffaz dimulakan sekarang dengan tujuan mewujudkan kesedaran awam. Allah tidak akan memiskinkan mana-mana orang mewakaf, menderma atau infaq,” katanya.

Related Articles

Back to top button