Nasional

Peruntukan besar kerajaan kepada usahawan rancakkan pembangunan PMKS – Ewon

Peruntukan dana RM1 bilion yang diumum Perdana Menteri bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Peruntukan pembiayaan besar oleh kerajaan kepada komuniti usahawan diyakini akan merancakkan lagi pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian berkenaan sedia menggalas tanggungjawab besar memastikan sektor PMKS terus berkembang pesat sekali gus berupaya memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya amat menghargai dukungan besar yang diberikan Perdana Menteri termasuk menyediakan peruntukan pembiayaan dan latihan keusahawanan yang diperlukan oleh komuniti PMKS negara.

“Ini termasuk memberi peranan kepada agensi di bawah kementerian saya iaitu Tekun Nasional menjadi antara peneraju Dana Pembiayaan Kredit Mikro Bumiputera sebanyak RM1 bilion yang memberi penekanan kepada golongan wanita, belia dan veteran tentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya pada Sabtu, membabitkan peruntukan dana RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh GLIC.

Tambahnya lagi, beliau percaya bahawa gerakan keusahawanan dan koperasi serta pendidikan boleh menjadi benteng kemiskinan sepertimana diperkatakan oleh Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button