Kerajaan cadang tubuh agensi berpusat tangani isu terkait pemberi maklumat
Kerajaan berhasrat untuk menubuhkan agensi berpusat untuk menangani isu berkaitan pemberi maklumat pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, M Kulasegaran.
Katanya, kewujudan agensi berkenaan akan menjadikan fungsi kuasa menjadi lebih luas dan seterusnya memastikan sisatan yang dilakukan adalah bebas.
“Kerajaan sedang lihat mekanisme pemusatan agar perlindungan eksklusif, efektif dan neutral,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang dikemukan oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkaitan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa yang sama, kerajaan turut berhasrat membentangkan cadangan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) di Dewan Rakyat tahun ini.
Kulasegaran berkata, cadangan penambahbaikan Akta 711 bermula sejak Mei 2019 dengan meneliti akta itu secara keseluruhan bersama agensi berkaitan, termasuk mendapat pandangan pemegang taruh.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) ialah akta yang baru digubal bagi memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu kelakuan tidak wajar.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang pemberi maklumat itu mendedahkan kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.