ALM Malaysia-Australia: hubungan erat kedua negara diperkukuh
Malaysia dan Australia sepakat untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara melalui tiga perkara tonggak utama.
Perkara itu dicapai bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya, Anthony Albanese pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) di Rumah Kerajaan, Victoria pada Isnin sempena lawatan rasmi Anwar ke negara itu.
Tiga tonggak utama itu adalah kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi serta pertahanan serantau.
“Tenaga boleh diperbaharui…teknologi hijau dan pastinya (bidang) digital. Keterjaminan makanan juga penting bagi kita dan ini menjadi satu keperluan mendesak di beberapa negara termasuk Malaysia.
“Begitu juga pendidikan. Terdapat banyak institusi pengajian tinggi dan universiti kebangsaan yang menubuhkan kampus di Malaysia, yang amat kami alu-alukan.
“Adalah menjadi tugas dan komitmen kami untuk memudahcara, malah mempercepatkan prosesnya,” kata Anwar pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia pada Isnin.
Anwar sebelum itu diberi sambutan rasmi oleh Gabenor Victoria, Margaret Gardener dan Albanese di Rumah Kerajaan, Victoria.
Majlis itu mendahului perbincangan dua hala dan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Australia-Malaysia (ALM) Kedua.
Ini adalah lawatan sulung Anwar ke Australia dan beliau mengetuai delegasi Malaysia ke ALM serta Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.
BACA LAGI: Jadikan Australia sebagai contoh hormati komuniti minoriti Islam
Pada pertemuan itu, pemimpin kedua-dua negara menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kerjasama Pendidikan Tinggi; MoU dalam bidang Sukan; MoU dalam Keselamatan Siber dan Teknologi Kritikal; dan Kerjasama Praktikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia dalam bidang Sains dan Teknologi dan Aplikasinya untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT).
Sementara itu menurut Anwar, Malaysia dan Australia yang akan meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun depan, telah membina kerjasama mantap dalam pelbagai bidang kerjasama.