7 syarikat Australia nyata komited bawa pelaburan baharu ke Malaysia
Malaysia terus meraih keuntungan hasil lawatan kerja luar negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terbaharu, tujuh syarikat Australia menyatakan komitmen mereka untuk menambah dan membawa pelaburan baharu ke Malaysia termasuk dalam bidang teknologi hijau dan tenaga guna baharu
Komitmen itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama pemimpin-pemimpin industri yang diadakan di Melbourne pada Selasa, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
“Insya-Allah ada tujuh syarikat yang telah berada di peringkat akhir. Saya merasakan akan ada lagi (syarikat menyatakan komitmen untuk melabur).
“Terdapat 18 syarikat yang berjumpa Perdana Menteri hari ini, selain mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan enam lagi syarikat,” katanya dipetik laporan media.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun proses memuktamadkan pelaburan itu akan mengambil masa antara dua hingga tahun, namun apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk meyakinkan mereka untuk melabur di negara ini.
BACA LAGI: Malaysia dan Australia meterai empat MoU sempena lawatan PM Anwar
“Mereka telah mengadakan pertemuan bersama MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan berunding bersama agensi-agensi berkaitan.
“Kami mengharapkan mesyuarat di sini, terutamanya dengan komitmen oleh Perdana Menteri sendiri yang telah memberikan jaminan kepada mereka (pelabur) untuk kita mempercepatkan proses dan memperbaharui beberapa dasar yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan Lynas, Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar nadir bumi itu dan dimaklumkan mengenai beberapa isu yang masih belum diselesaikan.