Semasa

KKM perkukuh kerjasama fasiliti kesihatan awam dan swasta

Kolaborasi antara fasiliti kesihatan awam dan swasta bakal dipertingkat bagi mendapatkan khidmat pakar diperlukan khususnya dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kolaborasi itu penting berikutan khidmat mereka yang begitu diperlukan masa kini, ketika mana kekangan jumlah pakar yang ada dalam fasiliti kesihatan kerajaan.

“Saya secara peribadi yang mengalas tugas menteri memandang perkara ini sangat penting. Namun yang saya mahukan supaya yang kita kendong (yang masih ada dalam perkhidmatan) ini mesti jangan sampai tercicir. Mereka yang dikejar di luar negara itu, mahu kita dapatkan juga.

“Tetapi yang mustahaknya adalah untuk KKM menampilkan satu pakej yang bukan saja dari sudut kewangan, tapi dari segi masa depan profesion mereka.

“Sementara kita boleh bagi elaun, imbuhan, lokum dan ‘on call’ atau ‘active call’, tapi akhirnya yang kita mahukan bukan mereka dapat terus berkhidmat, tetapi kita mahukan nilai murni untuk mereka kekal walaupun berdepan kekangan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu Dr Dzulkefly turut memaklumkan seramai 23 pegawai perubatan KKM sedang mengikuti pengajian kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotorasik, manakala seramai 1,938 orang pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian kepakaran berkaitan bidang keluarga.

BACA LAGI: KKM pastikan penjagaan pesakit jantung tidak terjejas termasuk golongan pesara

“Bagi 2020 hingga 2024, anggaran perbelanjaan biasiswa bagi pegawai perubatan KKM yang mengikuti pengajian kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotorasik berjumlah RM2.6 juta, manakala bidang perubatan keluarga pula berjumlah RM68.1 juta.

“Berhubung penyediaan prasarana latihan, tiada kos dibelanjakan dengan prasarana latihan bagi kedua-dua bidang berkenaan kerana pengajian adalah menggunakan fasiliti KKM dan universiti awam,” katanya.

Related Articles

Back to top button