ADUN Bersatu Selangor pula isytihar sokongan kepada kepimpinan Amirudin Shari
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari hari ini menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Abdul Rashid berkata, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.
“Saya meneliti Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya lagi, tindakan Perikatan Nasional Selangor dilihat berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.
Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Selangor terutama penduduk di kawasan Selat Klang.
“Ini adalah untuk memastikan kawasan N44 Selat Klang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menyatakan akan tetap kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasannya.