ekonomi

N9 terus cemerlang, catat pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2023

Kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri itu pada tahun lalu.

Mentgeri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejumlah 189 projek pelaburan diluluskan di Negeri Sembilan dengan nilai pelaburan RM10.1 bilion.

Ia sekaligus melepasi nilai RM10 bilion yang disasarkan kerajaan negeri untuk 2023.

“Daripada jumlah tersebut, RM4.1 bilion adalah pelaburan domestik manakala RM6.0 bilion adalah pelaburan luar negara.

“Ia sekali gus ia merupakan lonjakan sebanyak 13 peratus berbanding nilai pelaburan yang diterima pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM8.9 billion,” jelasnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri pada Khamis.

Aminuddin sementara itu menjangkakan pelaburan baharu itu akan menawarkan sebanyak 3,250 peluang pekerjaan di negeri itu.

“Sektor yang menjadi penyumbang terbesar adalah sektor pembuatan berjumlah RM7.6 bilion dan diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM2.5 bilion.

“Ini adalah pencapaian pelaburan terbaik dan tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah di negeri ini,” tambahnya.

BACA LAGI: Kestabilan politik Malaysia berjaya tarik minat pelabur – PM Anwar

Sementara itu jelas Aminuddin, pentadbirannya akan terus komited menyediakan fasiliti dan kemudahan asas untuk memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelabur dari dalam dan luar negara pada masa akan datang.

Aminuddin turut mengucapkan terima kasih atas komitmen semua pihak yang terlibat dalam usaha merancakkan pelaburan di negeri itu.

Related Articles

Back to top button