Malaysia mesti tinggalkan budaya lama, bawa perubahan dengan berani – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia berani membawa perubahan dengan meninggalkan budaya lama.
Pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Australia pada Rabu, Anwar berkata usaha itu mesti didukung bukan hanya oleh kerajaan dan jemaah Menteri, tetapi juga di peringkat rakyat.
“Dalam sejarah negara, ada ketika di mana kita ada kesempatan untuk melakukan anjakan atau perubahan, pada hemat saya kita telah biasa dengan budaya lama dan perlu lakukan anjakan ini dengan berani,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Anwar sementara itu tidak menafikan dalam melaksanakan perubahan, akan ada bangkangan khususnya daripada pihak pembangkang yang ada antaranya membicarakan soal berkaitan agama dan sebagainya dan menyerang apa sahaja yang dilakukan kerajaan.
Bagaimanapun, perkara itu adalah perkara biasa politik dalam konteks sebuah negara demokrasi.
Justeru tambahnya, tumpuan ke arah perubahan adalah dengan membetulkan tatakelola, tadbir urus, menghentikan rasuah dan penyelewangan, di samping melaksanakan yang jelas yang boleh meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara gagah dan hebat.
BACA LAGI: Perubahan arah dasar negara diyakini bakal perkukuh asas industri dan perniagaan
“Jika perlu (laksana) transisi negara.. kita buat. Kalau perlu transformasi digital, perubahan dari segi teknologi pertanian.
“Kalau perlu hentikan ketirisan termasuk dalam pendaftaran subsidi, terpaksa kita lakukan, jangan bebankan rakyat kerana kita warisi hutang RM1.5 trilion dan defisit belanjawan negara adalah 5.6 peratus. Dalam masa satu tahun (defisit belanjawan) daripada 5.6 peratus jadi 5.0 peratus.
“Kita tidak terus amalkan pembaziran, apapun yang dikatakan dalam sejarah kita satu perkara yang saya boleh tegas dan berani sebut satu tahun tiga bulan kita perintah, belum muncul satu kes di mana menteri atau Perdana Menteri atau Menteri Kewangan yang berkuasa cuba merompak kekayaan dalam negara,” katanya.