Kerajaan Perpaduan terus usaha tangani ketirisan subsidi diesel – Amir Hamzah
Negara sedang berdepan isu ketirisan subsidi diesel yang serius dan perlu ditangani segera, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya pada Khamis Amir Hamzah berkata, kerajaan berpandangan ada kemungkinan subsidi diesel dinikmati sektor tidak layak sehingga menyebabkan beban besar kepada pengurusan kewangan negara.
“Kita kena tutup kelompongan yang ada dari segi ketirisan ini. Kita tengok dari segi jumlah subsidi diesel yang diberi tahun lalu lebih kurang RM20 bilion. Jadi kalau kita dapat potong setengah pun … Alhamdulillah.
“Duit sepatutnya pergi kepada rakyat..untuk kita bina sekolah yang lebih elok, klinik serta infrastruktur lain yang lebih penting kepada rakyat,” katanya pada pada perhimpunan yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.
Sebagai rekod, kerajaan melalui KPDN sedang mengambil langkah menangani ketirisan subsidi diesel melalui pelaksanaan projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).
Melaluinya, syarikat terbabit akan menerima kuota subsidi melalui kaedah Fleet Card.
Semalam, KPDN memperluas kaedah tersebut kepada sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan melibatkan lori kargo am, lori minuman botol, lori ais, lori luton, lori tangki, lori tangki air, van panel, dan van ‘window’.
Sementara itu Amir Hamzah dalam ucapannya berkata, Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berusaha untuk menjana hasil yang lebih, mengurangkan ketirisan dan menyalurkan dana ke saluran yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
BACA LAGI: Projek rintis SKDS 2.0 dimulakan, subsidi diesel bersasar dijangka suku kedua tahun ini
Malaysia jelasnya mempunyai peluang untuk keluar daripada kekangan ekonomi walaupun mengambil sedikit masa serta menekankan perlunya usaha berterusan untuk mencapai hasrat tersebut.
“Sebab itulah dari segi pihak kerajaan antaranya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, kita telah berusaha untuk menarik pelabur datang ke Malaysia.
“Alhamdulillah tahun lepas kita lihat pelaburan diluluskan berada pada satu tahap yang tinggi dan tidak pernah lagi dicapai sebelum ini iaitu sebanyak RM329.5 bilion,” jelasnya.