ekonomi

PM Anwar seru pelabur lihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama

Komuniti pelaburan antarabangsa diseru melihat Malaysia sebagai sebuah destinasi modal dan pelaburan paling utama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucaptama di Persidangan Invest Asean di Melbourne, Australia pada Khamis mengetengahkan keyakinan mengenai ekonomi Malaysia yang semakin kukuh akan menjana lebih banyak pelaburan selain melonjak prestasi ekonomi dan ringgit yang lebih baik pada tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, petunjuk ekonomi utama menggariskan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan bertambah baik sekaligus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang stabil.

“Malaysia sudah kembali. Saya yakin dengan prospek ekonomi Malaysia dan masa depan kami sebagai rakyat dan negara. Pada 2023, kami merealisasikan lonjakan 23 peratus dari segi pelaburan langsung yang diluluskan kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM329.5 bilion.

“Kami yakin jumlah ini akan bertambah pada 2024, dengan manfaat yang semakin meningkat untuk rakyat, apabila pelaburan komited diterjemahkan kepada projek baharu, pekerjaan bergaji tinggi baharu, peluang baharu untuk pemindahan teknologi dan penambahan kemahiran dan peningkatan prospek untuk ringgit,” katanya pada acara yang turut dihadiri pegawai peringkat ketua pegawai eksekutif itu.

Melalui ucaptama itu juga Anwar mengutarakan program transformasi yang sedang dilaksanakan pentadbirannya, di samping menekankan semua perkara itu diterjemahkan kepada persekitaran politik, ekonomi serta sosial yang lebih baik dan kondusif untuk pelabur antarabangsa.

“Malaysia MADANI lebih daripada kembali kepada nilai tradisional, atau penerapan nilai-nilai murni baharu.

“Kerangka visi itu merupakan program kerajaan yang komprehensif dan mendalam bertujuan membangunkan perubahan yang pada dasarnya positif, namun transformatif dalam dasar fiskal, pembaharuan subsidi dan semangat tadbir urus yang lebih tinggi di samping peningkatan prestasi peserta ekonomi swasta.

“Dalam program transformasi MADANI kami terdapat tonggak ekonomi baharu: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu, yang akan menyokong transformasi kami kepada ekonomi Abad Ke-21 yang lestari, lebih mampan dan lebih makmur,” jelasnya.

BACA LAGI: Pemulihan ekonomi di landasan betul, Malaysia cipta sejarah pelaburan tertinggi tahun lalu

Perdana Menteri berada di Melbourne, mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Malaysia-Australia kedua pada 4 Mac serta Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia, dihoskan oleh Australia, yang diadakan dari 5 hingga 6 Mac, 2024 untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dialog Asean-Australia.

Beliau kini berada di Canberra sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi berturut-turut ke negara itu, atas jemputan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

Related Articles

Back to top button