Semasa

Jemaah menteri ucap selamat berpuasa, ajak rakyat tingkat amal ibadat

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengajak umat Islam meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT sempena bulan penuh berkat ini.

Melalui satu hantaran di akaun Facebooknya, Fahmi turut menyeru agar umat Islam menyemarakkan masjid dan surau di kawasan masing-masing serta merapatkan ukhuwah dan silaturahim.

“Alhamdulillah, Ramadan yang mulia telah tiba. Sempena bulan penuh berkat ini marilah kita meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri pada ALLAH SWT. Semoga setiap perkara yang kita lakukan dipenuhi dengan keberkatan dan kebaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan turut menzahirkan ucapan sama menerusi akaun Facebook rasmi masing-masing.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru agar umat Islam memohon kepada ALLAH SWT supaya diberikan kerahmatan dan keberkatan hidup.

“Carilah keredaan ALLAH dengan memperbaiki niat dan memperbanyakkan amal ibadat di bulan yang penuh keberkatan ini.

“Perbanyakkan membaca al-Quran, bersedekah serta memberi makan kepada mereka yang berpuasa dan lakukan qiyam dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada ALLAH SWT.

“Rebutlah peluang dan tawaran yang telah disediakan oleh ALLAH untuk kita di bulan ini,” katanya.

BACA LAGI: Al-Quran tekan soal akhlak, perlu difahami secara menyeluruh

Sementara itu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik laporan Sinar Harian berkata, Ramadan merupakan kesempatan istimewa bagi umat Islam membersihkan hati dan jiwa, dan semoga bulan suci ini membawa keberkatan dan ketenangan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut mengucapkan Salam Ramadan kepada seluruh Muslimin dan Muslimat yang mula berpuasa hari ini.

Related Articles

Back to top button