Ops Ihsan diteruskan, Malaysia komited bantu bangunkan semula Gaza – Timbalan Menteri
Bantuan daripada kerajaan Malaysia termasuk Ops Ihsan akan terus disalurkan ke Palestin. kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam, Mohamad Alamin berkata, bantuan itu bagi membantu warga Palestin yang sehingga kini masih berdepan kekejaman Israel.
“Ops Ihsan pada ketika ini kita sedang usaha hantar 100,000 pek makanan dan insya-Allah akan ditambah lagi.
“Kita juga sedang dalam perbincangan bagaimana hantar secara dekat lagi menggunakan kapal laut,” jelasnya yang turut memaklumkan telah bertemu Duta Mesir bagi membincangkan perkara itu pada Ahad.
“Insya-Allah Malaysia terus konsisten menghantar bantuan ke Gaza dan semoga ia dapat masuk secepat mungkin,” katanya.
BACA LAGI: Raja Salman seru masyarakat antarabangsa hentikan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin
Ujarnya, Malaysia juga sentiasa komited untuk menyalurkan sumbangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Malah Malaysia juga jelasnya akan terus membantu membangun semula Palestin.
“Kita akan bekalkan beberapa ambulans terus kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Kita juga akan bangunkan semula kota Gaza dan akan libatkan diri untuk fasa akan datang,” katanya.