Parlimen

KDN bidas laporan HRW, tiada tahanan diseksa dan mati di Depoh Imigresen

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan dalam laporan terbaharu Human Rights Watch (HRW) yang menyatakan kerajaan menindas kumpulan pelarian dan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan menyatakan depoh tahanan itu sesak melebihi kapisiti juga tidak benar sama sekali.

Menurutnya, ketika ini terdapat 20 depoh imigresen di negara ini dengan kapasiti 20,650, namun sehingga 7 Mac jumlah mereka yang ditempatkan di depoh ialah seramai 13,655 ataupun di bawah kapasiti maksima.

“Laporan HRW tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara, adakah sesak, jawapannya tidak. Berapa banyak kita belanja untuk uruskan 20 depoh ini, RM123 juta tahun lepas, makan saja RM83 juta kita belanja.

“Bila kita usir kita bayar duit feri dan kapal terbang, begitu sekali kita jaga, tapi HRW kata kita dera sampai kematian,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Beliau berkata, warga Myanmar paling ramai direkodkan berada di depoh imigresen iaitu seramai 4,541, diikuti Indonesia (3,797), Filipina (2,914), Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan negara-negara lain 1,054.

Saifudin berkata, mereka yang ditahan di depoh imigresen terdiri daripada individu yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan dan menunggu dokumen perjalanan dan mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Akta Pasport.

“Ada juga pemegang kad UNHCR, tetapi mereka terdiri daripada mereka yang melakukan kesalahan undang-undang, kes dadah, rogol bunuh, kes curi nadir bumi di Sik, Kedah pun ada,” katanya dan menambah, seramai 41,658 telah dihantar balik ke negara masing-masing pada tahun lepas.

Beliau berkata, ekoran laporan HRW ini, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) telah memanggil KDN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bagi memberikan keterangan.

Bagaimanapun beliau difahamkan dalam keterangan berkenaan, HRW yang diminta untuk memberikan pembuktian bagi setiap dakwaan mereka seperti lokasi kem di mana kematian dan penindasan berlaku, tidak dapat berbuat demikian.

“Begitu sekali kita jaga tapi HRW kata kita seksa sampai berlaku kematian. Akibat laporan ini, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sudah memanggil KDN dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini, begitu juga HRW bagi memberi keterangan.

“Satu cebis bukti pun tidak dapat mereka kemukakan, tapi laporan telah mereka (HRW) syarah satu dunia,” katanya.

Sehubungan itu Saifuddin berkata, pihaknya juga akan mengutus surat bagi meminta HRW tampil memberikan bukti dan penjelasan berhubung dakwaan yang disifatkan sangat tidak bertanggungjawab tersebut.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PSC kerana memberikan peluang kepada Jabatan Imigresen untuk membuat pematahan.

“Kami akan memberikan kerjasama, dengan harapan versi yang lebih berwibawa daripada kami ini akan dapat diuar-uarkan, bagi meneutralkan semua tuduhan ini.

“Kita sebuah negara yang betul-betul mengikut undang-undang, menjalankan tindakan berdasarkan sifat ihsan dan kemanusiaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button