Semasa

MET ramal cuaca panas kering 7 hari kedepan, individu berpuasa disaran kekal hidrasi

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah bakal berhadapan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius sepanjang tempoh tujuh hari ke hadapan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan di Sarawak, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga pagi.

Ramalan itu berdasarkan analisis model cuaca dengan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak hingga 15 Mac ini.

Susulan itu jabatan itu menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Orang awam juga menurut jabatan itu boleh memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.

Media sebelum ini melaporkan, taburan hujan yang berkurangan diramal boleh menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas sepanjang Ramadan ekoran fenomena El Nino yang melanda ketika ini.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Chung Jing Xiang berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan angin timuran yang biasanya bertiup ke arah Malaysia menjadi lemah dan bertukar ke arah Lautan Pasifik.

BACA LAGI: Jemaah menteri ucap selamat berpuasa, ajak rakyat tingkat amal ibadat

Pakar kesihatan menyarankan orang ramai supaya minum lebih banyak air kosong semasa sahur dan berbuka puasa untuk memastikan tubuh kekal hidrasi sepanjang Ramadan.

“Mereka yang berpuasa turut dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi untuk mengelak daripada kerap membuang air kecil,” kata Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman dipetik.

Related Articles

Back to top button