Global

Palestin: Kritikan keras PM terhadap kuasa barat jadi sorotan media antarabangsa

Kritikan keras Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap negara Barat yang kurang bertindak terhadap kekejaman rejim Israel di Gaza menarik perhatian media asing.

Anwar seperti dilaporkan Agensi Anadolu (AA) berkata, negara Barat seharusnya menghentikan sikap memilih-milih dan mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap sesuatu termasuk menyalahkan konflik di wilayah itu kepada Hamas.

“Apa yang saya tolak dengan keras ialah naratif ini, obsesi ini, macamlah semua masalah bermula dan berakhir pada 7 Oktober.

“Ia tidak bermula dengan 7 Oktober dan tidak berakhir dengan 7 Oktober.

“Ia bermula empat dekad sebelum itu, dan ia berterusan setiap hari,” katanya dalam satu sidang akhbar bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin bersempena lawatan rasminya ke negara itu.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, dasar Israel terhadap Palestin yang berdekad-dekad lamanya dan kekejaman rejim itu adalah punca utama kepada konflik yang berterusan hari ini.

Konflik yang berterusan itu tegasnya telah mengakibatkan korban dan kemusnahan yang ketara sehingga Israel menghadapi tuduhan melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

BACA LAGI: Malaysia, Jerman gesa gencatan senjata kekal dilaksana di Gaza

Perdana Menteri juga ditanya oleh media asing sama ada beliau bimbang bahawa hubungan Malaysia dengan Hamas boleh merosakkan hubungannya dengan negara lain.

“Kedudukan dasar luar negara kami adalah konsisten. Kami menentang kolonialisme, apartheid atau pembersihan etnik atau pengusiran mana-mana negara, sama ada Ukraine atau di Gaza. Kami tidak boleh menghapuskan 40 tahun kezaliman dan pengusiran yang menghasilkan reaksi dan kemarahan daripada pihak yang berkenaan.

“Hubungan kami dengan Hamas adalah sayap politik di Hamas. Kami tidak meminta maaf tentang hal itu. Penglibatan itu sekurang-kurangnya sudah membantu membawa kebimbangan, sekurang-kurangnya tentang tawanan. Kami tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan tentera.

“Kami mengiktiraf Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) jauh sebelum Eropah atau Amerika berbuat demikian, kerana kami percaya dasar apartheid harus ditentang. Jadi kami konsisten dengan dasar itu, bahawa kita harus memahami punca asalnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button