Rencana komprehensif tangani isu warga asing di Sabah sedang dibangunkan – Menteri KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal bekerjasama dengan kerajaan Sabah dalam merencana langkah komprehensif berhubung isu warga asing di negeri itu.
Mennteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menerusi jawatankuasa itu, bancian sedang dijalankan Jabatan Ketua Menteri Sabah bagi mengenal pasti secara tepat keberadaan warga asing di negeri, termasuk mereka yang memegang pelbagai kad pendaftaran warga asing di negeri itu.
“Untuk kita merangka langkah ke depan, ia mesti berasaskan fakta tepat, jadi tugas itu diambil dan dijalankan Jabatan Ketua Menteri dan kemudian KDN akan bersama kerajaan negeri Sabah untuk merangka langkah ke hadapan,” katanya.
Saifuddin sebelumnya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Shir Yee pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa berhubung langkah diambil kerajaan bagi mengenal pasti pemegang Pas IMM 13 ketika ini, merupakan mereka yang layak seperti yang ditetapkan Jabatan Imigresen.
Pemegang IMM 13 dibenarkan tinggal di negeri Sabah termasuk Labuan mengikut tempoh yang dinyatakan dalam pas dan pemegang pas ini boleh bekerja di negeri itu, tanpa perlu memohon pas kerja (tetapi bukan untuk bekerja dalam sektor profesional dan perkhidmatan awam).
Bagaimanapun jelas Vivian, timbul kebimbangan berikutan terdapat isu pas berkenaan dijual di pasaran gelap, sedangkan pemilik asal pas berkenaan telah meninggal dunia.
BACA LAGI: Sewa premis kepada warga asing, 364 lesen perniagaan rakyat tempatan dibatalkan
Mengulas lanjut Saifuddin mengakui isu berkaitan warga asing di Sabah lebih kompleks, terutamanya apabila wujud masyarakat dikenali sebagai ‘Pala’u’ yang tinggal di kawasan rumah air, dengan jumlahnya mencecah puluhan ribu ketika ini dan mempunyai masalah identiti.
“Ada yang datang dari Filipina, Indonesia, beranak pinak di situ dan segala macam, jadi kalangan pertubuhan bukan kerajaan, mereka akan bahaskan soal apa masa depan pendidikan mereka (Pala’u), bagaimana pula peluang mendapatkan kemudahan kesihatan.
“Kadang-kadang mereka melahirkan anak pergi ke klinik atau hospital kemudian tidak selesaikan bil hospital, anak pun terpaksa ditinggalkan. Jadi keadaan sangat kompleks yang kita kena selesaikan satu persatu,” katanya.