Selangor bakal anjur Jualan Ehsan Rahmah sempena Aidilfitri
Kerajaan Selangor bakal menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari, program JER itu sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri membantu umat Islam di negeri itu membuat persiapan.
“Sebagaimana lazim, menjelang musim perayaan memang kita ada program JER isitimewa yang akan dilaksana di beberapa lokasi untuk jualan pelbagai barangan dengan harga berpatutan.
“Kita buat jualan ini sejak pandemik. Kita akan umumkan nanti,” katanya di Glenmarie.
Amiruddin ditemui pemberita seleppas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan iMotorbike bagi memperkasa pendidikan dan pembangunan belia negeri.
Mengulas lanjut mengenai program jualan itu, beliau memaklumkan ia dirancang untuk diadakan di pelbagai lokasi mengikut zon, sekali gus memberi peluang lebih ramai penduduk mendapatkan barangan asas pada harga rendah.
“Sebelum ini kita buat hanya di satu lokasi tetapi kali ini mungkin di pelbagai lokasi mengikut zon,” tambahnya.
BACA LAGI: 87 peratus responden setuju inisiatif Rahmah dikekalkan
Tahun lalu, Kerajaan Selangor menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilftri selama enam hari di 23 lokasi seluruh negeri dengan tawaran harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
Program dilaksana dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan negeri dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad.