Semasa

KPM tambah guru kaunseling, tangani gangguan seksual di sekolah – Fadhlina

Kementerian Pendidikan memandang serius isu gangguan seksual terhadap murid sekolah.

Justeru menterinya, Fadhlina Sidek memberi amaran keras bahawa pendidik atau kakitangan yang terbabit dengan kesalahan itu akan dipecat selain dibawa ke muka pengadilan.

“You touch, you go (kamu sentuh, kamu pergi),” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Shah Alam pada Sabtu.

Tambahnya, KPM komited menyediakan sekolah sebagai tempat paling selamat selepas rumah terutama daripada gangguan seksual yang boleh menghancurkan masa depan seseorang murid.

Susulan itu KPM telah melancarkan Program Sekolah Selamat yang antara pengisiannya menyediakan persekitaran bebas dari gangguan seksual menerusi pengenalan garis panduan khas.

“Ini juga termasuk dalam konteks sukan yang kita buat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan supaya murid merasa selamat laksana aktiviti sukan,” katanya dipetik.

BACA LAGI: Amalan baca akhbar di sekolah bantu murid perkasa bahasa Melayu

Fadhlina sementara itu berkata, isu gangguan terhadap murid amat dekat kepadanya, malah beliau sendiri pernah bertemu dengan mangsa yang turut membabitkan murid di institut agama.

“Bila saya tanya mengapa tak laporkan, mereka jawab ustaz cakap kalau bagitahu orang lain ilmu tak berkat…kena jaga aib yang beri ilmu,” tambahnya.

Menurutnya, KPM juga akan menambah guru kaunseling di setiap sekolah termasuk kepada murid keperluan khas sebagai persediaan untuk berdepan dengan kes gangguan seksual.

Related Articles

Back to top button