R. Ramanan edar bubur lambuk, santuni umat Islam sekitar Sungai Buluh
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan menyantuni umat Islam di kawasannya dengan mengagihkan 5,000 paket bubur lambuk.
Melalui satu kenyataan, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, paket bubur lambuk itu diagihkan di bazar Ramadan, surau dan masjid sekitar kawasan yang diwakilinya secara percuma itu bagi menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan di Sungai Buloh.
Memilih bubur lambuk, beliau berkata juadah istimewa itu sudah menjadi kelaziman untuk dinikmati umat Islam semasa berbuka puasa.
“Saya mengedarkan sendiri bubur lambuk kepada warga Sungai Buloh untuk bertemu mereka atas semangat perpaduan dan kebersamaan.
“Cukup meriah bersama mereka dan sebanyak 500 (paket) bubur lambuk telah diagihkan di Bazar Ramadan Saujana Utama dan 250 (paket) lagi di masjid dan surau sekitar kawasan terbabit,” kata wakil rakyat Parti KEADILAN itu melalui kenyataan tersebut.
Beliau berkata selain mengedarkan bubur lambuk, Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh telah mengatur dan menyusun pelbagai program untuk masyarakat Islam di kawasan itu, antaranya program berbuka puasa bersama asnaf, program bersama anak-anak muda dan anak yatim serta program agihan zakat.
BACA LAGI: Ambil karbohidrat kompleks elak terkena strok haba sepanjang Ramadan
Ramanan juga berkata beliau akan meneruskan penyaluran sumbangan gaji beliau sebagai Ahli Parlimen kepada masjid-masjid di Kawasan Sungai Buloh.
“Ini komitmen saya sejak dilantik sebagai Ahli Parlimen dan akan diteruskan selagi menjadi Ahli Parlimen di sini,” katanya.