‘Malapetaka besar’ menanti di Rafah, tentera Israel mampu bunuh sejumlah besar kanak-kanak – UNICEF
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai ‘malapetaka’ jika tentera Israel melancarkan pencerobohan darat di bandar Rafah, selatan Gaza.
Menurut jurucakapnya, James Elder, serangan Israel ke kawasan itu dijangka mampu membunuh sejumlah besar kanak-kanak.
“Rafah adalah bandar kanak-kanak. Ketika ini terdapat 600,000 kanak-kanak di bandar itu berbanding hanya beberapa ratus ribu orang sebelum. Kekurangan zat makanan semakin menjalar.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Selama 20 tahun saya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, saya tidak pernah melihat bandar berubah menjadi runtuhan seperti itu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, beliau bertekad untuk melakukan serangan darat di Rafah, walaupun amaran antarabangsa semakin meningkat.
Lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berkumpul di Rafah, yang bersempadan dengan Mesir.
Ketika pertempuran antara Hamas dan tentera Israel semakin membara, kumpulan bantuan dan organisasi antarabangsa telah mengeluarkan amaran mengenai risiko kebuluran jika penghantaran bantuan kemanusiaan tidak ditingkatkan.