Semasa

Pindaan Akta Hasutan dimulakan, halang provokasi terhadap institusi diraja – Menteri KDN

Jemaah Menteri telah bersetuju supaya proses pindaan Akta Hasutan dimulakan, kata Menteri Dalam Menteri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui satu program podcast dipetik berkata, proses itu yang akan digerakkan dengan libat urus bersama pihak berkuasa polis bertujuan memastikan keharmonian negara dapat dipertahan.

“Saya baru saja dua minggu lepas diberikan ‘green light’ oleh Kabinet untuk memulakan proses ini. Diberitahu semua perkara.

“Tapi, bukan ke arah untuk mengetatkan. Tapi ke arah bagaimana kita nak ‘invoke’ supaya keadaan di luar yang disebut sebagai fenomena 3R ini dapat kita kawal dengan menggunakan perundangan,” katanya.

Saifuddin sebelumnya menjadi tetamu program bual bicara Keluar Sekejap dan ditanya sama ada Putrajaya berhasrat menyemak semula Akta Hasutan.

Pada Julai tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata Jemaah Menteri bersetuju menyemak Akta Hasutan bagi memastikan undang-undang itu digunakan terhadap mereka yang menghina institusi diraja.

Pengumuman Azalina dibuat susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pembangkang susulan kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor yang membuat kenyataan mengkritik terhadap Raja-Raja.

BACA LAGI: Kerajaan semak semula Akta Hasutan 1948 untuk lindungi Institusi Raja-Raja dari provokasi

Sementara itu Saifuddin pada bual bicara itu turut mengulangi pendirian Anwar yang menyatakan kerajaan tidak mahu menggunakan Akta Hasutan bagi tujuan politik.

“Bagaimanapun, perkara berkaitan agama dan monarki, inilah sahaja undang-undang yang kita ada,” katanya.

Untuk rekod, Sanusi Nor yang juga Menteri Besar Kedah kini berdepan dua pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor.

Related Articles

Back to top button