MotoGP: Jorge Martin raih kemenangan sulung musim 2024 di GP Portugal
Pelumba pasukan Pramac Racing, Jorge Martin muncul juara di Grand Prix (GP) Portugal pada Ahad.
Pelumba Sepanyol itu yang menunggang jentera Ducati bermula di petak perlumbaan ketiga tampil agresif untuk memimpin mendominasi perlumbaan.
Martin naib juara dunia musim lalu dilihat tidak membuka ruang sekali gus memecut laju biarpun pada awal perlumbaan diasak hebat oleh pelumba Aprilia, Maverick Vinales dan juga Enea Bastianini (Ducati) yang berada di belakangnya.
Melalui kemenangan pertamanya musim ini, Martin merampas kedudukan teratas dalam kejuaraan dunia daripada juara dunia Francesco Bagnaia yang terkeluar daripada persaingan selepas bertembung dengan Marc Marquez pada babak akhir perlumbaan.
Bastianini yang sedikit ketinggalan pada awalnya berjaya menamatkan perlumbaan tempat kedua selepas jentera Vinales mengalami kerosakan dan menjadi punca dia terlepas untuk menaiki podium.
Keadaan tersebut membuka ruang kepada pelumba rookie Tech3 GasGas, Pedro Acosta untuk menamatkan perlumbaan tempat ketiga selepas cemerlang memintas juara dunia musim lalu, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez pada baki lima pusingan terakhir.
BACA LAGI: Maverick Vinales cipta sensasi di perlumbaan sprint GP Portugal
Kemalangan yang melibatkan Bagnaia dan Marquez turut membuka ruang kepada Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing) menamatkan perlumbaan ditempat keempat dan terus mendaki berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 42 mata manakala Bastianini di tempat ketiga dengan 39 mata.
Dengan MotoGP Argentina dibatalkan, perlumbaan berikutnya adalah di Austin, Texas, Amerika Syarikat dari 12 hingga 14 April depan.