Nasional

Fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac

Fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan.

Fasa itu akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir, lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang bermula sejak 11 November lalu.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan itu.

Helmi menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Related Articles

Back to top button