ekonomi

Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada Februari 2024 – DOSM

Inflasi Malaysia meningkat 1.8 peratus pada Februari 2024 dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi itu didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6 peratus) dan pengangkutan (1.2 peratus).

“Bagaimanapun, antara kumpulan utama yang merekodkan peningkatan lebih perlahan iaitu restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9 peratus), kesihatan (2.2 peratus), makanan dan minuman (1.9 peratus) dan pendidikan (1.5 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat peningkatan lebih rendah iaitu 1.9 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.0 peratus).

Katanya, inflasi bulanan terus meningkat 0.5 peratus (Januari 2024: 0.2 peratus) dengan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, masing-masing meningkat 1.3 peratus, 0.6 peratus dan 0.4 peratus.

Inflasi teras meningkat pada kadar sama seperti Januari 2024 sebanyak 1.8 peratus berikutan peningkatan dalam kumpulan makanan dan minuman, restoran dan perkhidmatan penginapan yang masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 2.9 peratus pada Februari.

Kadar Inflasi Malaysia 1.8 peratus adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.0 peratus), Filipina (3.4 peratus), Amerika Syarikat (3.2 peratus), Korea (3.1 peratus ) dan Indonesia (2.8 peratus).

Bagaimanapun, kadar itu lebih tinggi berbanding China (0.7 peratus) dan Thailand (-0.8 peratus).

Related Articles

Back to top button