Negeri

PM Anwar yakin Perak akan jadi negeri utama pertumbuhan ekonomi negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan, tiga projek mega yang sedang dibangunkan di Perak akan mengangkat negeri itu sebagai negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Meru Raya di Ipoh pada Isnin beliau berkata, tiga projek berkenaan yang berpangkalan di Perak iaitu Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian.

“Ketimbang (berbanding) Johor, Pulau Pinang dan Selangor, Perak sedikit terkebelakang, tetapi dengan program dan penekanan yang diambil pasukan (Menteri Besar Perak Datuk Seri) Saarani (Mohamad), kita percaya dalam beberapa tahun lagi, Perak akan muncul negeri utama di negara ini.

“Tadi, saya diberitahu masih ada lebih kurang 4,000 orang yang dalam kategori miskin tegar di Perak, tapi kita yakin dengan kegigihan pasukan Menteri Besar, Perak akan noktahkan kemiskinan tidak lama lagi,“ katanya.

Turut hadir Saarani, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki serta 300 pelajar KPTM.

BACA LAGI: Penjawat awam, Ketua Kampung di Perak dapat ‘duit raya’ RM1,000

Pada majlis tersebut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM291,000 kepada 34 masjid dan 35 surau di dalam Parlimen Tambun yang diharapkan dapat membantu pihak jawatankuasa masjid dan surau untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti Ihya’ Ramadan yang dirancang.

Pada ucapannya, beliau turut mengingatkan golongan muda supaya mengetepikan politik kebencian.

“Cukuplah dengan politik kebencian, bangkit bersama jadi warganegara yang baik tingkatkan ilmu, kuasai bidang yang baik, jadikan Malaysia negara yang dicontohi, dikagumi dunia,“ katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button