Anwar

Malaysia mahu resolusi gencatan senjata, bantuan kemanusiaan di Gaza dikuatkuasakan serta-merta – PM Anwar

Malaysia mengalu-alukan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNSC menerima Resolusi 2728 mengenai Gaza, menyeru gencatan senjata segera dan bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mengambil kira kemuliaan Ramadan, selain mahu penderitaan yang dihadapi penduduk di Gaza sejak perang tercetus pada Oktober tahun lalu dihentikan segera.

“Demi kemuliaan Ramadan, dalam semangat pada bulan ini yang bertujuan membangkitkan renungan, pembaharuan iman kita dan kembali kepada keluarga, hari ini resolusi yang mengikat secara sah mesti dikuatkuasakan sekarang.

“Kita mesti segera melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan yang amat sangat dan penderitaan yang kini mereka alami selama hampir enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anwar juga menegaskan, Amerika Syarikat (AS) perlu bertindak terhadap sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa dengan mematuhi gencatan senjata dan membenarkan kemasukan segera dan besar-besaran bantuan kecemasan.

“Kami memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan oleh 10 wakil yang dipilih ahli majlis, Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.

“Malaysia kekal komited kepada perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai sempadannya serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB,” katanya.

Buat kali pertama sejak Perang Gaza tercetus sejak Oktober tahun lalu, UNSC pada Isnin, akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Related Articles

Back to top button