KPM tambah baik Dasar Buku Negara – Menteri
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan lima komponen penting sebagai langkah untuk memperkasakan penerbitan buku negara
Perkara itu dinyatakan dalam Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek menyatakan komponen tersebut ketika ucaptama beliau di seminar berkenaan.
Katanya, komponen tersebut termasuk pemerkasaan dasar, penerbitan buku, perdagangan dan pemasaran, kemahiran dan latihan serta pengiktirafan.
“Komponen pertama merupakan pemerkasaan dasar dimana Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan DBP membentuk dan mengetuai jawatankuasa untuk merangka Dasar Buku Negara yang baharu yang akan dilancarkan pada tahun 2025.
“Sementara itu, komponen kedua merupakan pemerkasaan penerbitan buku yang mengusahakan penerbitan buku himpunan makalah dan meningkatan buku karya terjemahan,” katanya.
Langkah tersebut digerakkan dengan pelancaran gerakan penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia dengan menyasarkan penggunaan peruntukan sehingga RM2 juta daripda dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN).
Selain itu, komponen ketiga dilakukan dengan pelaksanaan Pesta Buku Bahasa Melayu, Pesta Buku Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Lorong Seni sebagai Lorong Buku dan pasar malam, pasar tani dan pasar lambak sebagai medan dagangan buku.
Akhirnya, komponen keempat pula meletakkan amanah kepada DBP untuk menerajui penubuhan Institut Penerbitan Kebangsaan dan DBP sudah mempunyai Pusat Bertauliah yang memberikan kursus editorial kepada mereka yang ingin menceburi bidang ini.