Sivasangari mara ke separuh akhir kejohanan Klasik London 2024, singkir pemain nombor satu dunia
Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari mempamerkan aksi luar biasa pada suku akhir kejohanan Klasik London 2024 apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini 11-9, 11-9 di London, pada Sabtu.
Kejayaan pemain ranking ke-16 dunia itu turut menempa sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pemain terkini di luar ranking kelompok 10 terbaik yang berjaya menundukkan El Sherbini sejak 2015.
Kali terakhir Sherbini tewas di tangan lawan di luar kelompok 10 terbaik dunia adalah pada 2015 yang menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu kecundang di tangan pemain dari Hong Kong, Annie Au.
“Saya masih tidak percaya. Ia (perlawanan) berlangsung sangat pantas dan saya tidak tahu apa yang berlaku di gelanggang, menewaskan pemain nombor satu dunia.
“Saya sangat menghormatinya… seorang pemain yang sudah meraih tujuh kali gelaran dunia, ia sesuatu yang menakjubkan. Saya menghormatinya tetapi hari ini, saya hanya turun ke gelanggang, menikmati permainan dan semua perancangan permainan berlangsung dengan baik.
“Dia juga seorang pemain terbaik dalam jelajah dan sangat berbakat. Untuk menewaskan seorang pemain yang sebegitu, saya bermain dengan sebaik-baik perancangan. Saya cuba kekal fokus dalam permainan berbanding memikirkan lawan.
“Saya dapat menggunakan seluruh kelebihan saya dengan corak permainan serangan,” kata Sivasangari dalam laman web Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).
Sivasangari, 25, akan bertemu pemain Belgium yang berada di ranking keempat dunia, Nele Gilis pada separuh akhir, malam ini.