Nasional

Skop pengecualian Cukai Perkhidmatan untuk sektor logistik dan penyenggaraan diperluas

Kementerian Kewangan telah mengumumkan pengecualian Cukai Perkhidmatan (CP) bagi sektor logistik dan penyenggaraan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping mengekalkan daya saing sektor perkhidmatan dalam negara.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan bersetuju supaya pindaan dibuat kepada Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 iaitu Butiran 1(a) berkenaan perkhidmatan logistik dan Butiran 1(b) berkenaan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang digabungkan sebagai satu butiran.

Melalui penggabungan itu, skop kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) diluaskan iaitu penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) kini layak mendapat pengecualian yang lebih luas dengan tidak lagi perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang yang sebelum ini berada di bawah Butiran 1(b).

Sebelum ini, penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) hanya layak mendapat pengecualian cukai ke atas perolehan perkhidmatan yang berada dalam Butiran 1(a) yang sama.

““Semua perkhidmatan di bawah Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik yang dibekalkan juga tidak akan tertakluk kepada kenaan CP kecuali perkhidmatan Ejen Kastam yang kekal dikenakan CP sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pengecualian CP turut dikenakan atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua penghantaran jalan laut melalui tiga lokasi dalam negara.

Skop pengecualian CP turut diluaskan bagi perkhidmatan penyelenggaraan iaitu perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman, kumpulan wang pelepas dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman yang disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

Kementerian Kewangan berkata, pengecualian membayar cukai perkhidmatan ke atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua barang yang dihantar menggunakan mod pengangkutan laut, terhad kepada perjalanan/destinasi Semenanjung ke Sabah/ Sarawak/Labuan; Sabah/Sarawak/Labuan ke Semenanjung dan perjalanan di antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pengecualian membayar cukai perkhidmatan diberikan kepada perkhidmatan penyenggaraan yang berkaitan perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman; kumpulan wang pelepas (sinking fund) dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

Ini menujukkan bahawa kenaikan kadar CP daripada 6 peratus ke 8 peratus sebelum ini lebih tertumpu kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang tidak melibatkan rakyat secara langsung.

Related Articles

Back to top button