Draf akhir peraturan berkaitan e-sisa dalam peringkat penelitian – Nik Nazmi
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang dalam fasa meneliti draf akhir peraturan berkaitan sisa buangan peralatan elektrik dan elektronik.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya berharap Mekanisme Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (e-sisa) dihasilkan isi rumah dan sektor bukan industri seperti komersial dan institusi dapat dikuatkuasakan tahun depan.
“Kerangka itu kita sudah ada tetapi perlu disesuaikan dengan realiti sektor bukan industri, kemudian bila dah melalui proses libat urus dengan pihak berkepentingan kita akan ke peringkat seterusnya,” katanya dipetik.
Mengulas lanjut mengenai hal itu beliau berkata, mekanisme itu akan membabitkan pihak pengilang, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dan pemerolehan kembali (premis kitar semula) yang dilesenkan di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Taiwan, Jepun dan Kesatuan Eropah jelasnya telah menggubal peraturan e-sisa sejak lebih 20 tahun lepas manakala sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara jiran di Asia Tenggara juga telah menggubal peraturan e-sisa mereka sendiri.
Seperti negara lain, Malaysia tegasnya tidak terkecuali untuk memastikan e-sisa yang dihasilkan dalam negara mesra alam melalui penambahbaikan perundangan dan pembangunan mekanisme pengurusan e-sisa.
BACA LAGI: NRES galak mekanisme alternatif kurangkan penggunaan plastik industri
“Menyedari peningkatan kuantiti e-sisa yang telah menjadi ancaman global ketika ini dan kepentingan serta keperluan sistem pengurusan khusus untuk menangani e-sisa, semakin banyak negara di dunia telah menggubal peraturan berkenaan perkara ini.
“Statistik menunjukkan e-sisa dilindungi oleh perundangan, polisi dan peraturan di 78 negara pada 2019 berbanding 61 negara pada 2014. Statistik ini menunjukkan kesedaran mengenai e-sisa telah mula meningkat
“Malaysia perlu mempunyai satu garis panduan jelas berhubung pengurusan e-sisa terutama bagi menghindar pencemaran bahan-bahan berbahaya yang terkandung dalam sisa buangan berkenaan sekiranya tidak dilupuskan dengan cara betul,” katanya.