Semasa

Pelaksanaan subsidi bersasar akan pastikan 85 peratus rakyat dapat faedah – PM Anwar

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi melibatkan bahan api dan barangan keperluan asas adalah untuk memastikan sekitar 85 peratus rakyat Malaysia benar-benar memperoleh faedah daripada inisiatif yang dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan subsidi bersasar juga bertujuan untuk mengelakkan ia disalah guna golongan 15 peratus teratas dan 3.5 juta warga asing yang berada di Malaysia.

“Kita bagi subsidi minyak siapa untung sekarang, (memang) rakyat Malaysia, (tetapi) 3.5 juta atau hampir 4 juta rakyat asing pun dapat subsidi minyak, (atas) sebab kita bagi subsidi pada semua, orang paling kaya pun dapat subsidi minyak.

“Jadi kita kena cari jalan bagaimana kita boleh gunakan penyasaran subsidi supaya faedah subsidi itu dapat dipulangkan kepada 85 atau 80 peratus rakyat bawahan, dan tidak pada golongan kaya dan warga asing yang (berjumlah) 3.5 juta itu.” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Madani negeri Perlis di Masjid Nurul Huda Felda Chuping di Padang Besar, Perlis pada Isnin.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan terus usaha tangani ketirisan subsidi diesel

Beliau berada dalam lawatan singkat ke negeri itu bagi mempengerusikan taklimat pembangunan negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan disertai Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Pada sebelah petangnya, beliau meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di Kangar bagi menyantuni rakyat tempatan.

Dalam perkembangan sama, beliau menuntut pihak yang bermain “sandiwara politik” dengan menggunakan isu kos sara hidup seperti peningkatan harga barangan untuk “mencermin” diri masing-masing.

Ini kerana menurutnya, harga barangan seperti telur dan ayam ketika ini adalah lebih murah jika dibandingkan ketika tempoh pentadbiran ‘pihak’ terbabit.

Related Articles

Back to top button