Semasa

KPM komited atasi isu kekurangan guru – Fadhlina

Pengumuman berhubung pengambilan guru baharu akan dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Ramah Mesra Bersama Pengamal Media di Kuala Lumpur pada Isnin, beliau berkata, ia merupakan usaha dan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menampung isu kekurangan guru dalam negara.

“Saya tidak fikir ia masalah yang tidak boleh ditangani kerana dari segi perancangan dan unjuran kita, ia berlaku dengan sangat baik, begitu juga dengan kemasukan guru yang kita latih dan untuk mengisi setiap kekosongan itu.

“Tak timbul ia satu perkara yang tidak boleh diselesaikan, cuma kita akan ambil kira isu-isu unjuran ini bersama SBP (sekolah berasrama penuh) supaya ia dapat unjuran yang lebih tepat dan pengisian itu dapat berlaku dengan segera,” katanya.

Fadhlina minggu lalu memaklumkan, KPM telah melantik 20,171 guru baharu secara tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas.

Ia dianggap pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh KPM dalam tempoh setahun.

BACA LAGI: KPM mula usaha tangani masalah sekolah padat

Sementara itu sebagai menyentuh majlis diadakan beliau berkata, ia jelasnya sangat penting kerana ia berkait rapat dengan program yang memberikan semangat kepada anak-anak kecil yang sedang berlatih berpuasa.

“Ia merupakan program untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan kerana anak-anak kecil ini akan membuat persembahan yang terkait rapat dengan apa yang ditekankan oleh KPM termasuk penghayatan Hadis 40, dan solidariti kepada Palestin yang kita buat secara konsisten,” katanya.

Related Articles

Back to top button