PM Anwar dijangka rasmikan penubuhan Fakulti AI bulan depan – Mustapha Sakmud

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan merasmikan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 3 Mei ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di Dewan Negara pada Rabu ketika memaklumkan perkara itu berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi penubuhan fakulti itu selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI.
“Buat masa ini, Kementerian Kewangan memberikan peruntukan awal dan fakulti itu sedang diperbaiki dan diubah suai, peralatan berkaitan juga sedang dilengkapkan di fakulti ini,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pada Rabu.
Mustapha sebelumnya menjawab soalan Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan yang bertanya tentang perkembangan terkini berhubung penubuhan Fakulti AI.
Dalam perkembangan berkaitanMustapha turut memaklumkan sebarang keputusan kementerian untuk menutup atau mengubah suai fakulti mengikut perkembangan semasa berdasarkan kebolehpasaran graduan.
“Kementerian akan menilai fakulti mengikut indikator berkaitan kebolehpasaran graduan, bila kebolehpasaran graduan di bawah 30 peratus, memang fakulti itu terpaksa diberhentikan atau diubah suai supaya mengikut keperluan industri.
“Kita akan pastikan pelajar di semua fakulti dapat mengikuti kursus yang didedahkan dengan teknologi baharu terutamanya AI,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui sama ada terdapat kesan terhadap kursus sedia ada di insitusi pengajian tinggi disebabkan perkembangan AI dan langkah diambil kementerian.



