HRW masih belum bersedia untuk bertemu – Menteri KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam fasa akhir untuk mencapai persetujuan perkongsian data mengenai pelarian dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata begitu susulan pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Tinggi UNHCR Thomas Albrecht pada Khamis bagi membincangkan langkah dalam pengurusan pelarian secara lebih komprehensif itu.
Sementara itu Saifuddin memaklumkan kedua-dua pihak turut membincangkan pembangunan kapasiti dan latihan supaya kekuatan KDN dan UNHCR dapat digabungkan bagi memanfaatkan pengalaman pertubuhan itu mengurus pelarian di seluruh dunia.
Mengenai aspek latihan, UNHCR jelasnya mempunyai modul antaranya tentang hak asasi manusia dan kemahiran melihat data UNHCR secara granular memandangkan pertubuhan itu membangunkan sistem pendaftaran mengurus 187,000 pelarian yang berbeza dengan sistem KDN bagi tujuan penambahbaikan.
“Sekarang ada sekumpulan pegawai kita sedang jalani program latihan dan capacity building dengan mereka (UNHCR).
“Pada masa yang sama akan memberi kerjasama yang sebaik-baiknya sesuai dengan peranan dan keberadaan UNHCR di negara kita dan ini penting bagi menangkis tohmahan (terutama) daripada setengah kalangan yang menganggap KDN tidak memberi kerjasama langsung kepada pertubuhan (UNHCR) ini,“ katanya.
Sementara itu sebagai mengulas dakwaan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) kononnya berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas pelarian dalam dept tahanan Jabaran Imigresen Saifuddin berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sehingga kini belum bersedia berjumpa dengannya.
“Sehingga hari ini HRW masih menyatakan ketidaksediaan untuk berbincang dengan saya bagi berbincang tentang dapatan yang mereka laporkan dalam laporan mereka. Saya masih menunggu kerana engagement seperti ini penting kalau-kalau mereka ada maklumat yang saya terlepas pandang.
“Jadi saya perlukan kerjasama mereka dan masih beri masa kepada mereka sehingga betul-betul bersedia untuk saya meneliti satu persatu butiran yang dimasukkan dalam laporan mereka seumpama berlaku seksaan (depot tahanan) yang menyebabkan kematian,“ katanya.
Pada 8 Mac lepas, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata bersedia mengadakan pertemuan dengan HRW berhubung dakwaan yang dibuat berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depot imigresen.