Semasa

Sultan Selangor seru pemimpin politik satu padukan semua rakyat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri ini dijauhi daripada sifat yang tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci.

Baginda, melalui titah ucapan sempena Majlis Perasmian Masjid Damansara Perdana pada Jumaat turut menzahirkan kebimbangan atas kecenderungan golongan terpelajar menggunakan agama, kedudukan dan populariti demi agenda peribadi peribadi mereka.

“Apa yang membimbangkan Beta, sikap-sikap buruk yang dilarang oleh agama Islam ini mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar.

“Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuan dan cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah-hujah mengenai isu-isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu ‘ada udang di sebalik batu’ dalam setiap tindakan yang dibuat.

“Mereka menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat dan sanggup melihat umat Islam di negara ini berpecah belah,” titah baginda.

Baginda melalui titah tersebut juga menegaskan negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan.

“Oleh itu Beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama ini dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Pemimpin-pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama lain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita,” titahnya.

BACA LAGI: ‘Perpaduan hadiah paling bermakna untuk saya’ – Sultan Ibrahim

Justeru, baginda menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Related Articles

Back to top button