Nasional

SKMM siasat 4 individu sebar kandungan palsu terkait penganjuran majlis tilawah dan hafazan al-Quran

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa bagi tahun 2024.

Pada Jumaat, SKMM telah memanggil empat pemilik akaun Facebook susulan penyebaran kandungan palsu yang dikesan berlaku di aplikasi tersebut melalui beberapa akaun.

SKMM melalui satu kenyataan berkata, empat yang dipanggil itu adalah sebahagian daripada pemilik akaun media sosial disyaki membuat penghantaran kandungan berkenaan.

“Mereka telah dipanggil untuk siasatan dan rakaman percakapan oleh pihak SKMM.

“Semua data yang dimuat naik oleh mereka telah direkodkan sebagai bahan bukti untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

SKMM juga memaklumkan beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu (1) tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Related Articles

Back to top button