Semasa

PH mesyuarat hari ini, bincang calon PRK Kuala Kubu Baharu

Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat hari ini untuk memuktamadkan calon yang mewakili gabungan itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor, 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata dalam mesyuarat yang dijadualkan diadakan di Shah Alam dengan dihadiri kepimpinan tertinggi gabungan itu akan menilai beberapa nama yang dikemukakan.

“Kita berharap keputusan (muktamadkan calon) dapat dibuat dalam masa terdekat, namun buat masa sekarang, ia dalam perbincangan, belum ada keputusan lagi.

” … tapi soal parti mana yang akan bertanding, itu telah ditentukan dan ia (calon) memang daripada DAP,” kata Pengerusi DAP Selangor itu selepas menghadiri satu program di Damansara.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

BACA LAGI: PRK Kuala Kubu Baharu ditetapkan 11 Mei 2024

Khamis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Related Articles

Back to top button